Nombor giliran buku : 027
Nama Judul Buku : Mrs. PAPA
Penulis: Ezatul Marini Ghazali, Rozilawati Mohamed, Ruqayyah Muhd, Hayati Abu Hassan
Terbitan tahun : 2019
Penerbitan : Galeri Ilmu
Cetakan ke : Pertama
Muka surat : 154
Harga : RM15
Nama Pengulas : Ana Reads
.
Ulasan:
.
Bagi yang telah membaca buku Mr. MAMA, ini adalah kembarnya. Bagi yang belum, cari dan bacalah. Buku ini mengisahkan kisah suka duka, perit getir perjuangan 4 orang penulis wanita yang bekerjaya yang juga seorang isteri dan ibu di dalam menguruskan kerjaya dan rumah tangga.
.
Sekali dengar, bunyi macam cliche. Alah, apa sangatlah bekerja dan buat kerja rumah. Ramai je yang macam tu zaman sekarang. Ya betul, tapi setiap kisah kita berbeza. Begitu juga dengan mereka.
.
Ada yang terpaksa menggalas tanggungjawab dua kali ganda berbanding ibu bekerjaya yang lain lantaran suaminya yang sering sakit dan tidak dapat menjalankan kehidupan normal seperti lelaki lain. Ada yang suaminya terpaksa keluar awal dan pulang sangat lewat setiap hari sehingga memaksa mereka menguruskan anak seorang diri. Ada juga yang terpaksa berhadapan dengan tanggungjawab kerjaya sehingga jarang dapat berada di rumah bersama keluarga.
.
Namun, berkat usaha dan kekuatan doa serta tawakal mereka kepada Yang Maha Kuasa, rumah tangga kekal harmoni, anak-anak berjaya di dalam pelajaran dan baik akhlaqnya. Apa rahsianya?
.
Komunikasi. Ini sangat penting di dalam hubungan rumah tangga. Usah dipendam seorang diri dan berlagak seperti ‘supermak’ yang konon mampu melakukan semua perkara. Tujuan berumah tangga adalah untuk saling memberi dan menerima. Segala rasa tidak puas hati, sedih, penat dan marah perlulah diluahkan dan ditangani dengan perbincangan yang penuh hemah. Jika semuanya dipendam, bimbang akan ‘meletup’ suatu hari nanti.
.
Saling melibatkan dan tidak menjadikan anak lelaki sebagai raja. Tips terbaik yang penulis berikan di dalam memastikan keadaan rumah sentiasa bersih dan kemas. Kerja rumah akan lebih cepat diselesaikan apabila diagihkan sesama ahli rumah. Seorang basuh pinggan, seorang menyapu dan lain-lain. Seorang ibu yang baik akan mendidik kesemua anaknya agar serba-serbi boleh, tidak terhad kepada yang perempuan sahaja.
.
Namun, yang paling penting sekali apabila seorang isteri mula bekerja adalah reda suami dan kebijaksanaan sesebuah pasangan itu menghadapi dugaan dan fitnah ketika ia melanda.
.
Aku sangat suka buku ini. 4 penulis yang lahir daripada Akademi Bonda Nor ini tidak pernah mengecewakan pembaca dengan karya mereka.
.
#ulasanbukuanareads
Cc: Zamri Shahri
0 Comments