Nurses : " Kalau Sister itu mati, depan kubur dia pun tak ingin aku melintas."
Jika ada kawan-kawan yang mengatakan saya yang bercakap seperti itu, benar, memang saya yang cakap sebegitu.
Ia terjadi sekitar tahun 2017 sewaktu krisis saya dengan sebuah persatuan jururawat di Sarawak. Ketika itu ada seorang Sister (ketua jururawat) yang lancang mulutnya menuduh saya memecah-belahkan persatuan jururawat atas beberapa cadangan saya yang tidak mengikut arus perdana.
Ketika Syaitan telah menjadi teman rapat di hati saya ketika itu, hampir sahaja saya bergaduh dengan beberapa orang yang telah pun mengatakan sesuatu yang tidak adil dan tidak betul terhadap saya.
Apa lagi, setelah sahih berita yangbsaya dengar sememangnya Sister tersebut yang menyebarkan sesuatu yang salah tentang saya terus mulut ini berkata,
" Kalau dia sakit aku tak kan datang ziarah, kalau dia mati kubur dia pun aku tak ingin melintas," kata aku dengan hati yang penuh dendam.
Masa berlalu dengan pantas. Sudah 4 tahun peristiwa itu berlaku.
Kini, Sister tersebut bukan sahaja telah menjadi rakan FB saya bahkan beberapa kali kami makan dan ketawa bersama di dalam beberapa program persatuan jururawat.
Kami mula berbaik apabila nama saya dicadangkan oleh beliau sebagai pembaca doa dalam beberapa majlis rasmi persatuan dan beliau mula 'menjual' nama saya sebagai seorang yang pandai menulis puisi.
Akhirnya, puisi dan doa saya berkumandang di beberapa majlis jururawat selepas disyorkan oleh beliau.
Hebat perancangan Allah azwj. Apabila kami mengingatkan kembali peristiwa yang lepas, saya ketawa dan dia pun ketawa.
Begitulah bagaimana peristiwa nostalgik kemaafan terbentuk tanpa perlu dituturkan dengan kata-kata itu muncul dalam ingatan saya setelah selesai membaca buku catatan sejarah hidup HAMKA oleh Abdul Talip Mutalib ini.
Tidak saya menyangka, HAMKA bukan sahaja seorang ulama' yang pandai dalam dunia sastera bahkan pejuang kemerdekaan Indonesia yang telah menempuh jalan perjuangannya yang tersendiri.
Dituduh pengecut.
Gagal dalam pelajaran.
Talibarut Jepun.
Penciplak karya orang lain.
Talam Dua Muka.
Mulut manis tetapi hati busuk.
Wahabi, terkeluar dari Ahli Sunnah.
Pengkhianat Negara Kesatuan Republik Indonesia.
Suami yang cuai dan abaikan keluarganya.
Dan banyak lagi yang tidak mampu saya senaraikan satu persatu. Kisah hidup beliau yang penuh ranjau berduri membuatkan setiap tulisan beliau mempunyai 'roh' dan auranya tersendiri.
Difitnah secara besar-besaran oleh Pramoedya Ananta Toer dan akhirnya beliau sendiri menghantar anak serta menantunya mempelajari agama daripada HAMKA.
HAMKA juga pernah dipandang serong oleh kebanyakan pimpinan kerajaan ketika itu akibat api permusuhan yang dinyalakan oleh seorang bernama Mohd Yamin sehingga memberi kesan yang teruk dalam kehidupan beliau. Namun, tatkala Mohd Yamin dalam keadaan nazak dipanggilnya HAMKA untuk menziarahinya.
Datanglah HAMKA dengan muka yang penuh kemanisan dan senyuman yang ikhlas dari leluhur hati yang telah pun memaafkan sesiapa sahaja memusuhinya. HAMKA duduk disisi Mohd Yamin, diulangi talqin kalimah tauhid.
Akhirnya, Mohd Yamin pergi dengan lafaz keimanan itu yang dipimpin musuh lamanya, HAMKA.
Presiden Soekarno, seorang negarawan dan presiden Republik Indonesia pertama yang bersama-sama HAMKA memperjuangkan kemerdekaan juga akhirnya memenjarakan HAMKA akibat hasutan para pemimpin komunis.
Dua tahun empat bulan dipenjarakan sahabatnya sendiri atas tuduhan yang tidak berasas. Namun, HAMKA terus mempertahankan hatinya agar terus bersangka baik dengan Allah azwj dan berfikiran positif.
Kata beliau, jika dia tidak dipenjarakan oleh Soekarna maka sudah tentu karya ulungnya iaitu Tafsir Al Azhar tidak dapat ditulis dan diterbitkan. Lihatlah betapa lunaknya hati beliau dalam memberi seribu satu alasan dalam memaafkan kesalahan orang lain.
Ketika Soekarno dalam keadaan nazak, dia mewasiatkan jika dia mati maka jenazahnya perlu disolatkan oleh HAMKA.
HAMKA tidak berdendam malah dengan ikhlas mengimami orang ramai mensolatkan jenazah orang yang pernah menghumbankannya ke dalam penjara.
Bacalah lakaran kehidupan HAMKA yang terus hidup dalam ummat ini. Anak nusantara yang membuatkan setiap orang berbangga menyebut namanya sehingga ke hari ini.
Nombor Giliran Buku: 045
Nama Judul Buku : HAMKA
Penulis: Abdul Latip Talib
Terbitan tahun : 2014
Penerbitan : PTS
Cetakan ke : Kelapan
Muka surat : 490
Harga : Rm 27 (Semenanjung) RM 30 (s/s)
Nama Pengulas: Zamri Shahri
Rumah Bibliotarian
0 Comments