Header Ads Widget

Ruang Iklan Untuk Disewa

Ticker

6/recent/ticker-posts

Borak Buku : 14 Tips Membaca Daripada Ana Reads



14 TIPS MEMBACA DARI ANA READS.

Saya banyak terima soalan begini:
“Bagaimana nak mula membaca?”
“Lajunya awak baca! Speed reader ke?”
“Saya susah nak habiskan walaupun sebuah buku. Macam mana awak boleh baca banyak-banyak eh?”
“Banyaknya masa awak sampai boleh baca banyak buku!”
Mari saya kongsi sedikit tips bagaimana saya membaca melalui perspektif seorang suri rumah anak 3. Mungkin tak semua orang setuju dan sesuai dengan apa yang saya cadangkan ini. Namun, sedikit sebanyak moga ada manfaatnya buat kalian. Bagi yang bekerja, boleh sesuaikan dengan jadual masing-masing.
1. SUSUN JADUAL MEMBACA
Saya bukanlah seorang yang patuh dengan jadual. Jadual seorang suri rumah memang padat, namun fleksibel. Pastikan urusan rumah tangga dan anak-anak selesai dahulu sebelum membaca. Jika tidak, kepala akan jadi serabut, mood untuk membaca juga akan ‘lari’. Berapa lama anda membaca dalam sehari bergantung kepada kelapangan yang ada. Jika dapat membaca walaupun satu muka surat sehari pun tak mengapa, yang penting konsisten.
2. PEMILIHAN “PORT” MEMBACA
Saya tiada masalah untuk membaca di mana sahaja. Dan tempat biasa saya membaca adalah di ruang tamu, di depan tv, wajib ada tilam/ toto dan bantal. Yang pasti, anak-anak semua perlu ada di dalam kawasan saya membaca. Senang nak pantau. Lekakan anak-anak dengan permainan, buku atau aktiviti yang bersesuaian. Ada orang suka membaca di meja, tempat sunyi dan lain-lain.
3. TUTUP HP / FLIGHT MODE
Fokus akan sangat mudah terganggu dengan kehadiran telefon. Maka, padamkan atau buat ‘flight mode’ dan letak jauh-jauh. Jika bimbang ada panggilan penting, pastikan letak di tempat tinggi dan jauh dari tempat membaca tanpa perlu tutup atau buat ‘flight mode’.
4. TETAPKAN MASA
Ada orang boleh membaca di dalam tempoh yang lama. 3 jam pun tiada masalah menghadap buku tanpa henti. Ada orang tak boleh. Maka, tetapkan berapa minit atau jam untuk anda membaca. Sesuaikan dengan jadual kehidupan anda.
5. PEMILIHAN BAHAN BACAAN
Bagi yang dah lama menghadapi ‘reading slump’, mulakan dengan bahan bacaan ringan seperti komik atau buku kanak-kanak. Jangan terus membaca buku yang topiknya berat, bimbang cepat jemu dan mengantuk nanti. Bagi yang suka buku berdasarkan kisah realiti dan ayatnya santai, boleh baca buku terbitan
Komrad Buku
.
Jika segan nak membaca di khalayak ramai, boleh beli ‘booksleeve’ untuk balut buku tersebut. Boleh cari di Instagram, ada ramai yang jual. Contoh:
Dolly Dotz
. Dah habis baca, boleh guna untuk buku yang lain pula. Jimat.
Jangan lupa untuk mengenalpasti genre buku yang kena dengan jiwa anda. Pemilihan genre buku yang tepat akan menambah lagi minat anda pada membaca.
6. WAKTU MEMBACA
Waktu siang, paling sesuai untuk bacaan bukan fiksyen, agama dan topik berat. Sebab otak masih segar pada waktu pagi.
Tengah hari, sesuai untuk bacaan bantu diri (self-help), motivasi dan bacaan santai.
Waktu malam pula untuk bacaan fiksyen.
Bergantung pada diri sendiri. Ada orang boleh saja baca genre apa pun pada waktu bila pun.
Bagi saya sendiri, kena pandai ‘curi’ masa untuk membaca. Sedang memasak, sementara menunggu kuah mendidih, ketika mendodoikan anak tidur, waktu itulah paling mudah ‘mencuri’ masa untuk membaca. Dan semestinya waktu anak-anak tidur adalah waktu emas untuk saya membaca. Namun, ia sangat jarang didapati kerana mereka payah untuk tidur serentak.
7. PELBAGAIKAN GENRE
Jangan tumpu pada satu jenis genre saja. Contoh, hari ini buku travelog, esok keagamaan, lusa novel fiksyen seram, tulat motivasi.
Boleh juga jadi ‘polygamist reader’ di dalam satu hari. Maknanya, satu hari baca empat buah buku berbeza genre contohnya. Pagi travelog, tengah hari motivasi, petang keagamaan, malam pula novel fiksyen seram.
Sekali lagi, semuanya bergantung kepada masa yang ada.
8. BUAT NOTA / TAGGING / ANNOTATE
Sangat bagus untuk melatih minda untuk fokus dengan apa yang dibaca. Juga bagus untuk mengasah bakat anda menulis.
Bagi yang suka menulis, menggaris, meng’high light’ dan mewarna buku, inilah masanya. Catat nota ringkas di dalam buku bagi menambahkan lagi kefahaman membaca anda. Sediakan pen warna-warni bagi menarik lagi minat anda membaca.
Bagi yang sayang buku, sediakan buku nota kecil untuk mencatat. Catatan ini boleh dijadikan panduan untuk menulis ulasan buku nanti.
Anda juga boleh download Jurnal Membaca yang terdapat di akaun
Maans Book Store
.
9. AMBIL GAMBAR
Bagi yang tidak suka menulis, saya cadangkan untuk anda mengambil gambar. Mesti ada ayat atau ungkapan menarik di dalam buku yang anda baca. Ambil gambar ayat tersebut dan simpan atau kongsikan nanti di Instagram. Ayat ini juga nanti boleh dimasukkan di dalam ulasan buku tersebut.
Saya paling suka mengambil gambar dan jarang mencatat atau menulis di dalam buku. Selain sayang buku, saya tak suka melihat nota di dalam tulisan saya sendiri. Pelik, kan? Tapi, saya akan pastikan telefon saya berada di dalam ‘flight mode’ terlebih dahulu sebelum mengambil gambar. Jika tidak, pasti tumpuan akan terganggu daripada terus membaca.
10. TULIS ULASAN BUKU
Nota ringkas dan ayat yang telah diambil gambar tadi bolehlah digunakan untuk membuat ulasan. Tak perlu panjang berjela. Cukup untuk menulis isi-isi penting kesimpulan apa yang difahami daripada pembacaan buku tersebut. Ia juga sebagai satu bentuk melatih minda untuk lebih fokus dan mengasah bakat terpendam anda di dalam bidang penulisan. Bagi saya sendiri, ianya adalah satu bentuk terapi bagi menghilangkan kepenatan diri selepas seharian bergelut dengan rutin sebagai suri rumah tangga.
11. JANGAN TAKUT UNTUK ‘DNF’
‘DNF’ atau Did Not Finish bermaksud buku tersebut tidak habis dibaca. Sama ada sebab jalan ceritanya yang membosankan, genre yang tidak kena dengan jiwa, tidak bersetuju dengan idea atau penulis dan apa juga alasan peribadi anda.
Letak atau simpan sahaja buku tersebut dan bacalah buku yang lain. Jangan sesekali rasa bersalah kerana tidak mampu menghabiskan bacaan atau memaksa diri membacanya sehingga ke penghujung. Bimbang diri akan stres dan mood untuk membaca terus hilang. Buku yang ‘DNF’ tadi bolehlah dijual, ditukar (swap) atau dihadiahkan kepada pembaca yang lain.
12. TENANG
Bacalah dengan tenang dan santai. Tidak perlu membaca terlalu laju semata-mata ingin cepat habis. Tak rasa kemanisan membaca begitu. Tak perlu juga mengejar orang lain. Baca ikut kadar kemampuan sendiri. Dan tak semestinya perlu membaca dari kulit ke kulit. Boleh juga untuk ‘lompat-lompat’, yang penting isi buku difahami. Tips ini sesuai bagi golongan yang mempunyai masa terhad untuk membaca.
13. SERTAI KUMPULAN / KELAB MEMBACA
Membaca perlukan komuniti / biah / suasana yang terdiri daripada masyarakat yang cintakan buku. Kita manusia biasa. Ada masanya mood membaca itu hilang dan perlu dipupuk. Maka, kita perlu menyertai kelab membaca atau sebarang aktiviti berkaitan buku dan membaca.
Anda juga boleh mengikuti (follow) rakan-rakan pembaca, ‘bookstagrammer’, ‘booktuber’, pengulas buku, penulis, penerbit dan penjual buku, para editor dan mereka yang terlibat dengan dunia buku. seperti
Rumah Bibliotarian
,
The Bibliophile Community
,
Reading Muslimah
,
Sue Oshin
,
Syuhadah Ainin
,
Syuhara Suriati
,
Cikgu Wanny
,
Zulaikha Sizarifalina Ali
,
Ahmad Nashuha
dan ramai lagi.
Secara tidak langsung, pengetahuan anda tentang dunia buku akan lebih meluas.
14. TSUNDOKU
“Saya sangat suka buku. Kerap beli buku, tapi kurang atau tidak membaca langsung.”
Baik. Ini adalah suatu perbuatan tidak sihat, malah jika tidak dibendung, boleh mendatangkan masalah dari segi kewangan dan sosial. Istilah yang biasa digunakan pencinta buku bagi mengurangkan aktiviti pembelian buku adalah ‘puasa’.
Bukan senang untuk pencinta buku ‘berpuasa’. Jika terpaksa, mungkin anda boleh ‘uninstall’ buat sementara waktu aplikasi membeli-belah buku secara atas talian seperti Shopee, Carousell dan lain-lain. Keluar daripada kumpulan yang ada aktiviti penjualan buku. Habiskan membaca kesemu buku yang telah dibeli sebelum membeli buku yang baru.
Memiliki buku bukanlah suatu pertandingan mahupun ukuran tahap intelektual anda. Apalah gunanya memiliki tetapi tidak mengetahui dan mendalami ilmu yang terdapat di dalam buku. Paling rugi apabila buku yang dibeli langsung tidak kena dengan minat membaca anda.
Buku panduan terbaik dan santai buat anda yang ingin mula membaca, boleh rujuk buku Projek Bibliofil oleh Zahrah Yunos.
Semoga kalian mendapat manfaat daripada perkongsian ini. Selamat membaca!
Sumber gambar: google

Post a Comment

0 Comments