Nombor Giliran: 051
Judul Buku: The Writing Life
Penulis: Annie Dillard
Tahun: 1998
Penerbit: Harper Perennial
Cetakan: Pertama
Muka Surat: 113
Harga: Langganan Scribd RM20.14 sebulan
Nama Pengulas: Najibah A. Bakar
[Sempena Aktiviti Ulasan Buku Rumah Bibliotarian]
Buku memoir kepengarangan Annie Dillard ini menghidangkan gambaran kehidupan seorang pengarang, disampaikan dengan indah dan cermat melalui metafora dan kisah kehidupan yang segar.
Sejauh manakah seriusnya seseorang ingin jadi penulis? Sudah nekadkah? Seolah-olah begitu pertanyaan yang ingin diajukan pengarang kepada pembaca dalam bab pertama.
Apabila menulis, Dillard mengasingkan diri di dalam kabin atau bilik kecil yang khas untuk menulis. Malah suaminya juga. Di situ hanya beliau dengan laut, atau pemandangan bumbung, atau burung dan asfalt. Sunyi. Membelah malam. Dan mungkin bertemu jelmaan ghaib.
Selepas kopi demi kopi, pengarang masih menggelupur untuk menyudahkan karyanya dengan berwibawa, terpisah daripada kehidupan luar begitu lama.
Ini mengingatkan kita akan kisah-kisah ilmuwan Islam yang pernah dipenjarakan kerana berpaut kepada kebenaran, seperti Hamka, Imam Ahmad ibn Hanbal dan ramai lagi. Di ruang sunyi itu mereka melahirkan karya-karya besar.
Mengapa orang ingin menjadi penulis? Kata Dillard, dia tidak pernah tahu jawapannya, melainkan disebabkan kehidupan mereka tidak berasaskan hal materi. Lalu, kalau niat kita ingin menjadi kaya dengan menulis, adakah ini jalan yang pantas dipilih?
Dillard berkongsi bagaimana beliau merenung kehidupan dan segala hal di dalamnya agar dapat menuangnya semula ke dalam penulisan. Juga cara membaca dan belajar agar kehidupannya sebagai pengarang kekal menyala.
Seorang pelajar universiti pernah bertanya kepada seorang pengarang terkenal, ‘Tuan rasa mampukah saya jadi penulis?’ Tanya pengarang itu kembali, ‘Adakah kamu suka dengan ayat-ayat?’ Seperti seorang pelukis yang ditanya, apakah yang membuatmu menjadi pelukis? Jawabnya, aku menyukai bau cat.
Semua pengarang besar mempunyai model ikutan. Bagaimanakah menjadi pengarang jika tiada model karya yang dikagumi sebagai teladan? Yang ingin jadi pemuisi harus gila baca puisi. Barulah menjadi. Itu menjadi bukti dia benar-benar mencintai puisi dan ingin menciptanya.
Buku tujuh bab ini benar-benar kaya dengan perumpamaan yang menggambarkan dunia seorang pengarang.
Bab akhir membawa pembaca mengenali Dave Rahm, seorang pilot aerobatik yang pernah berkhidmat dengan Raja Jordan, King Hussein.
Pertunjukannya di langit diraikan oleh Dillard dalam sebuah perbandingan dengan kehidupan pengarang.
Buku ini mengesankan. Menyedarkan bahawa menjadi pengarang bukan impian muluk yang boleh sekadar disebut suka-suka. Ada tanggungjawab, ada nilai yang perlu dipenuhi.
Dan tidak hairanlah kalau Dillard sempat memenangi Pulitzer Prize untuk karyanya. Beliau pakar bermain metafora, adunannya kemas terselit dalam cerita, boleh membawa kita mengangguk-angguk menyetujui perumpamaan yang dibina. Sungguhlah beliau pencinta ayat-ayat.
0 Comments