No Giliran Buku : 028
Nama Judul Buku : Cintailah Aku Sepenuh Hati (C.A.S.H)
Penulis: Jaja Udin
Terbitan tahun : 2019
Penerbitan : KarnaDya Publishing Sdn Bhd
Cetakan ke : Pertama
Muka surat : 645
Harga : RM28
Nama Pengulas: Ana Reads
.
Ulasan:
.
Jika dilihat pada tajuk, nampak seperti sebuah buku cinta klise. Namun, bab pertama sahaja sudah menarik perhatian aku sebagai pembaca. Kisah dimulakan dengan berita kematian bapa Qaseh yang meninggalkan seorang isteri, Mak Mah dan tiga orang anak; Qaseh, Qamilah dan Qarim yang masih bersekolah.
.
Selepas kematian bapanya, Qaseh terpaksa berhenti sekolah tanpa sempat menduduki SPM demi menanggung pelajaran adik-adiknya. Mak Mah pula hanya seorang penoreh getah. Qaseh mendapat kerja sebagai pembantu rumah di Villa Marinaf, milik Puan Marina, yang tinggal di situ bersama dua anaknya, Iqram dan Iryana.
.
Selepas putus tunang dengan Mya Zara, Iqram mula rapat dan jatuh cinta dengan Qaseh. Konflik timbul apabila hubungan mereka ditentang hebat oleh Datin Marina, Iryana dan Mya Zara yang menyebabkan Qaseh bukan sahaja dihalau daripada Villa Marinaf, bahkan daripada rumahnya sendiri di Pahang. Pada waktu itu, Qaseh berbadan dua.
.
Qaseh terpaksa membawa diri sehelai sepinggang ke Kuala Lumpur. Dengan bantuan daripada seorang pelacur jalanan yang berhati mulia, Donna, dan juga seorang pasangan suami isteri yang kaya dan beragama, Qaseh berjaya mendapat tempat berteduh dan kerja yang halal.
.
Namun, satu tragedi yang amat tragis berlaku menyebabkan ramai orang menjadi insaf. Malah terbuka hati untuk mengubah sikap yang egois, sombong dan membangga diri kepada peribadi yang lebih baik. Apakah tragedi tersebut? Mengapakah Qaseh dihalau dan anak siapakah sebenarnya itu?
.
Novel ini bertemakan cinta kekeluargaan. Banyak pengajaran dapat dikutip sepanjang pembacaan.
1. Berpegang teguh dengan ajaran agama walau di mana anda berada. Jika dicampak ke tempat yang tidak elok pun, tidak akan mudah bertukar pendirian.
2. Walaupun kita merasakan ilmu dan iman di dada sangat kuat, namun berusahalah untuk keluar daripada lubuk maksiat dan fitnah. Ini kerana, syaitan tidak pernah berputus asa mengajak kita ke arah perkara mungkar.
3. Jangan sekali-kali membelakangkan suami di dalam membuat keputusan. Berbincang dan komunikasi dua hala sangat penting di dalam hubungan suami isteri.
4. Ketika marah, belajarlah mengawal kata-kata agar tidak melukakan hati sesiapa. Terlajak kata, buruk padahnya.
5. Bersyukurlah seadanya dengan apa yang dimiliki. Ramai lagi yang tidak bernasib baik seperti anda.
6. Benar, seorang ibu merupakan kunci syurga buat anaknya. Namun, usahlah menjadi asbab kederhakaan mereka.
7. Cinta yang ikhlas tidak semestinya memiliki. Perlu tahu beza di antara cinta dengan obses.
8. Jangan sekali-kali memandang hina terhadap orang miskin dan pelacur. Kita tidak berada di tempat mereka dan tidak memahami apa yang mereka rasa dan lalui.
.
Paling aku sebak apabila Qaseh memohon maaf sesungguh hati kepada Datin Marina bukan kerana untuk mendapatkan restu semata-mata, bahkan untuk memudahkan perjalanan kehidupannya di akhirat sana. Begitulah yang sepatutnya kita lakukan ketika meminta ampun dan maaf sesama manusia ataupun ketika bertaubat. Moga-moga kesalahan kita terhapus dan urusan kita di sana dipermudahkan.
.
#ulasanbukuanareads
.
Cc: Zamri Shahri
.
Jom sertai kami di telegram Rumah Bibliotarian:
https://t.me/RumahBibliotarian
0 Comments