Nombor giliran buku : 022
Nama Judul Buku : Kisah Malaysia Berkurung
Penulis: Abdullah Bukhari Abdul Rahim Al-Hafiz
Terbitan tahun : 2020
Penerbitan : Jejak Tarbiah
Cetakan ke : Pertama
Muka surat : 198
Harga : RM25
Nama Pengulas : Muhammad Shah bin Ahmad Nor
.
Ulasan:
.
Buku ini ditulis dalam tempoh lebih kurang 20 hari dalam tempoh PKP. Buku ini dianggap oleh penulis sebagai bisikan baik dan ilham agar menjadi rujukan dan tadabbur sempena PKP serta bakal menjadi butiran sejarah pada masa akan datang.
Saya pun mampu mengkhatamkan buku ini dalam masa yang relatifnya singkat, iaitu 2 - 3 hari (bukan sepenuh masa). "Layout"nya yang agak kemas dilengkapi pula dengan rajah dan gambar yang sesuai serta berwarna. Membaca buku ini pastinya dipenuhi dengan ayat-ayat Quran, yang membolehkan pembaca mengejar pahala membaca Quran juga.
Dalam buku ini, banyak kesilapan dalam interaksi orang ramai dengan Al-Quran dibetulkan, terutamanya tentang "permainan" nombor dalam mengaitkan peristiwa dengan Al-Quran. Perkaitan antara kalimah juga dicerahkan, betapa kemahuan untuk mentadabbur memerlukan disiplin ilmu juga dan tidak boleh dibuat dalam semberono.
Penulis juga mengajak agar pembaca membetulkan cara berfikir dalam agama, betapa agama dan sains tidak sesekali bercanggah, bahkan jalan bersama-sama. Maka, tidak tepatlah untuk mengatakan frasa seperti, "Kita hanya takut ALlah, bukan pada Covid19" sebagai hujah tetap berkumpul untuk mengerjakan solat jemaah sekalipun telah keluar fatwa oleh para ulama muktabar tentangnya.
Bahkan para mufti itulah yang seharusnya dilihat sebagai tindakan yang lebih bertaqwa.
Penulis juga berjaya membahaskan nas Quran dan hadith sehingga pembaca sentiasa dapat merasakan wahyu ini menjadi panduan merentas zaman. Sebagai contoh, penulis menyertakan nas hadith tentang dibolehkan untuk solat di rumah kerana hujan, maka lebih-lebih lagilah keharusan ini, bahkan mungkin larangan untuk solat berjemaah di masjid dengan menularnya virus ini.
Penulis juga sentiasa mengajak pembaca, untuk terus menerus bersangka baik dengan Allah atas ujian ini. Pelbagai rahmat di sebalik ujian dapat digali dan dikongsi oleh penulis.
Satu tamsilan yang menarik oleh penulis tentang doa. Doa bukanlah hanya dipanjatkan ketika sukar. Konsistensi dalam doa ibarat simpanan bulanan, yang mana ia boleh digunakan ketika kecemasan. Begitu jugalah doa. Penulis membawakan kisah Yunus as, bahawa antara asbab baginda diluahkan kembali oleh ikan, bukan hanya kerana doanya dalam perut, tetapi kerana lazimnya Yunus as berdoa ketika waktu "senang" baginda.
Biarpun PKP sudah bertukar menjadi PKPB dan kini PKPP, buku ini masih kekal relevan untuk sama-sama kita mengimbau kembali keadaan ketika bermulanya PKP pada bulan 3 dan akhirnya membuahkan muhasabah dan peringatan. Kita mungkin telah memperbanyakkan amalan, taubat semasa awal PKP. Biarpun bilangan kes semakin rendah, jangan sesekali kita lalai untuk menjaga SOP KKM, tetapi juga "SOP" kita selaku hamba Allah.
Tahniah kepada penulis dan penerbitnya #bukujt "Malang"nya, buku cetakan pertama telah tamat dan kini dalam proses untuk cetakan kedua. Saya membayangkan, buku ini bakal menjadi sejarah mungkin selepas puluhan tahun, untuk generasi akan datang memahami bagaimana respon "atuk nenek" mereka ketika berhadapan dengan COVID19.
CC: Zamri Shahri
0 Comments